LATAR BELAKANG DAERAH RAUB
Perkataan Raub dalam Bahasa Malaysia bermaksud 'genggam'. Mengikut sejarah, pusat perlombongan ini dinamakan Raub selepas pelombong-pelombong menjumpai seraub emas setiap dulang pasir. Hal ini dinyatakan dengan menarik oleh J.A Richardson dalam bukunya, 'The Geology and Resources of the Neighbourhood of Raub, Pahang'. Menurutnya, "People found that for every 'dulang' of sand there was a handful (raub) of gold' (hlm. 36).
Raub menjadi terkenal pada awal abad ke-20 kerana hasil emasnya. Syarikat lombong emas yang mengusahakan perlombongan di daerah ini ialah Raub Australian Gold Mine (RAGM) yang didaftarkan pada 1889 di Queensland, Australia. RAGM juga dikenali sebagai Raub Gold Mine. Pada awalnya, syarikat lombong ini dikenali sebagai Australian Syndicate Ltd dan kemudian Australian Gold Mine Co. Ltd pada tahun 1982. RAGM beroperasi sehingga 1961.
Kaedah perlombongan yang dijalankan di Daerah Raub adalah kaedah bawah tanah (shaft mining) dan ia dimulakan di Lubang Raub (Raub Hole). Daerah yang terlibat dengan perlombongan emas ialah Bukit Koman dan dipercayai perlombongan telah meliputi kawasan bawah tanah hingga ke bandar Raub. Kawasan bawah tanah antara Pekan Bukit Koman dan Bandar Raub adalah berlubang dan ini meninggalkan kesan buruk kepada pembangunan fizikal bandar. Hingga kini Raub tidak boleh mendirikan bangunan-bangunan tinggi.
Kegiatan perlombongan emas juga telah meninggalkan warisan sejarah yang berharga buat Daerah Raub. Kebanyakan nama jalan-jalan utama bandar Raub sebelum 1980-an adalah sempena nama pengurus lombong RAGM. Misalnya, jalan Bibby Road, sempena nama pengurus pertama, William Bibby dan Mason Road yang juga sempena nama seorang pengurus lombong zaman berkenaan.
Daerah Raub adalah salah sebuah dari 11 buah daerah di Negeri Pahang. Daerah Raub terdiri daripada 9 buah mukim iaitu Mukim Gali I, Mukim Gali II, Mukim Dong, Mukim Ulu Dong, Mukim Sega I, Mukim Sega II, Mukim Batu Talam, Mukim Semantan Ulu, Mukim Tras dan mempunyai satu kawasan parlimen iaitu Parlimen Raub. Daerah Raub juga mempunyai 47 buah perkampungan tradisional dan 10 buah kampung baru (Cina). Raub berlokasi di sebelah barat Negeri Pahang dan keluasannya ialah 2,271 kilometer persegi iaitu 6.34% dari keluasan Negeri Pahang (35,823 kilometer persegi ).
Raub juga terletak antara dua banjaran iaitu Banjaran Utama dan Banjaran Gunung Benum. Ketinggian Raub adalah 160 meter dari paras laut dengan purata suhu tahunan 79.5 darjah celcius dan purata hujan tahunan pula kira-kira 200 sentimeter. Jarak Raub dengan Bandaraya Kuala Lumpur hanya 130 kilometer dan hanya mengambil masa satu jam setengah untuk sampai ke pekan kecil ini melalui lebuhraya Kuala Lumpur – Karak.
TOPOGRAFI
Keadaan topografi bagi daerah ini adalah berbukit-bukau terutamanya di bahagian barat dan timur. Ketinggian keseluruhan di antara 25 hingga 2000 kaki. Rangkaian anak-anak sungainya pula tertumpu pada aras ketinggian 250 kaki. 61% (138, 936.6 hektar) keluasan tanah daerah ini adalah diliputi oleh hutan simpan. Keluasan tanah milik kerajaan hanyalah 3000 hektar serta keluasan Tanah Simpanan Melayu sebanyak 12400 hektar. Baki tanah seluas 72,497 hektar merupakan tanah milik persendirian.
PERUBAHAN NAMA JALAN
Nama Lama |
Nama Baru |
Tras Road |
Jalan Tras |
Bibby Road |
Jalan Tun Razak |
Mason Road |
Jalan Dato' Abdullah |
Lipis Road |
Jalan Lipis |
Cheroh Road |
Jalan Cheroh |
Bukit Koman Road |
Jalan Tengku Abdul Samad |
Temple Road |
Jalan Aman |
Hill Road |
Jalan Bukit |
Wayang Street |
Jalan Hussein |
Happy Valey Road |
Jalan Pasar |
Jalan Pasar Lama |
Jalan Tengku Kudin |
Circular Road |
Jalan Pekeliling |
Reservoir Road |
Jalan Kolam Air |
Distillery Road |
Jalan Tan Tiong |
Tanjung Gadung Road |
Jalan Dato' Setia Lela |
Old Cheroh Road |
Jalan Cheroh Lama |
Padang Road |
Jalan Padang |
Bibby Lane |
Lorong Tun Razak |
Office Road |
Lorong Damai |
SEJARAH NAMA JALAN-JALAN DI BANDAR RAUB.
Jalan Datuk Abdullah, Bandar Raub
Nama penuh beliau ialah Abdullah b. Ibrahim. Beliau pernah menjadi Pegawai Daerah dan Pemungut Hasil Tanah Raub pada bulan September 1950 hingga April 1953.
Jalan Dato' Setia Lela, Kawasan Bukit Koman, Raub
Nama penuh beliau ialah Tengku Haji Abdul Samad b. Tengku Muda. Dilahirkan pada tahun 1840 dan mangkat tahun 1916. Beliau pernah menjadi 'Pawang' semasa hayatnya. Dilantik menjadi Penghulu Mukim Gali pertama dari tahun 1900 hingga 1906.
Jalan Dato' Setia Lela, Bandar Raub
Mengambil sempena satu gelaran yang dikurniakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.
Jalan Husein, Bandar Raub
Nama penuh beliau ialah Hussien b.Tok Muda Hassan. Beliau dilahirkan pada 12 Julai 1916 di Kampung Dong, Raub. Mendapat pendidikan di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak.
Jalan Tan Tiong, Bandar Raub
Beliau dilahirkan di Negeri China dalam tahun 1880. Berpindah ke Raub pada tahun 1886. Meninggal dunia pada 8 Mac 1948. Semasa hayatnya beliau pernah menjadi 'Sanitary Board Raub' pada tahun 1900 dan meletakkan jawatan pada 19 Januari 1937. Beliau adalah Kapten Cina yang mula-mula dikurniakan Pingat Jasa Pendamai (JP) di Raub.
Jalan Tengku Kudin, Bandar Raub
Beliau telah dilahirkan di Kg. Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub dalam tahun 1871 dan mangkat dalam tahun 1943. Nama penuh beliau ialah Tengku Kudin b. Tengku Haji Samad. Beliau adalah Penghulu Mukim Gali kedua dalam tahun 1906. Beliau bersara dari jawatannya dalam tahun 1928. Pada tahun 1929 beliau telah dikurniakan gelaran Dato' Setia Lela Pahang oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang